Monday, October 24, 2011

SMBJ (8): Kuasa Lebih Utama Dari Keadilan Untuk Rakyat

Janji Buku Jingga

Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

Ulasan:
Ini merupakan agenda untuk membentuk persepsi kononnya kerajaan yang ada hari ini memerintah tanpa mendapat majoriti suara rakyat.

Kerajaan tidak boleh sesuka hati membuat perubahan kepada persempadanan kawasan undi kerana proses persempadanan perlu dilakukan berdasarkan prinsip persempadanan dan formula luas kawasan. Ia mengambil kira jumlah pemilih bahagian dan jumlah pemilih negeri berdasarkan 3 kategori iaitu pemilih di bandar, separuh bandar dan pemilih di luar bandar.


Hakikatnya, BN masih mengungguli undi popular. Malahan UMNO merupakan parti terbesar mendapat undi popular. Jadi adakah kerajaan hari ini tidak mewakili suara majoriti rakyat?





Kriteria yang telah ditetapkan mengikut Seksyen 4 Bahagian 2 Jadual 13 Perlembagaan ialah:

i- Pemilih hendaklah lebih kurang sama kecuali bagi kawasan-kawasan luar bandar yang menghadapi masalah perhubungan.
Kawasan Puchong mungkin mempunyai pengundi seramai 79 ribu orang berbanding Parlimen Kinabatangan hanya mempunyai pengundi 12 ribu orang. Namun seorang wakil rakyat dalam parlimen Puchong boleh menghabiskan hanya separuh hari untuk mengelilingi kawasan puchong berbanding wakil rakyat Kinabatangan yang terpaksa mengambil berminggu untuk menghabiskan pusingan di kawasannya. Malahan bagi kawasan yang jauh lebih pedalaman di Sabah dan Sarawak ada wakil rakyat terpaksa mengambil masa berbulan-bulan untuk habis mengelilingi kawasannya.


Jumlah pengundi yang ramai dalam Parlimen bandar tidak memberi kesan kepada perkhidmatan wakil rakyat kerana kepadatan dan juga pengangkutan yang cekap. Namun untuk memberi perkhidmatan di luar bandar, wakil rakyat bukan sahaja berhadapan dengan kekangan keluasan kawasan, masalah jalan pengangkutan tetapi juga keperluan masyarakat luar bandar yang lebih banyak.


Pengundi di bandar tidak bergantung banyak kepada wakil rakyat mereka berbanding dpengundi luar bandar. Di luar bandar, wakil rakyat bukan sekadar hadir sidang Parlimen tetapi juga perlu hadir pelbagai acara masyarakat dan juga bersedia dihubungi oleh pengundinya pada bila-bila masa. Daripada masalah kewangan, kehilangan ternakan, bantuan ke universiti dan juga membantu mencari kerja semuanya dihujani kepada wakil rakyat di luar bandar.


Ada wakil rakyat di Kedah dikejutkan tengah malam oleh penduduk kampung untuk mengadu kehilangan lembunya. Justeru beban wakil rakyat luar bandar lebih besar berbanding wakil rakyat dalam bandar seperti Puchong.


Justeru cadangan untuk menyamaratakan jumlah pengundi di semua kawasan parlimen tanpa mengambil kira kedudukan muka bumi dan keperluan rakyat setempat menunjukkan sikap penting diri Pakatan untuk menang pilihan raya bukannya untuk membantu rakyat.


Adakah adil kita terus memberi sokongan kepada mereka yang bukan sahaja mementingkan diri untuk berkuasa sehingga sanggup menidakkan hak pengundi luar bandar mendapat perkhidmatan yang lebih cekap?


Lebih serius adakah wajar kita terus mengundi wakil rakyat Pakatan yang jelas tidak malu-malu berbohong dan mewujudkan keraguan tanpa sebab kepada kalangan rakyat?

No comments:

Post a Comment