Monday, October 3, 2011

BUKU JINGGA: DASAR BERSAMA PAKATAN RAKYAT (1)

Demokrasi Telus dan Tulen
Perlembagaan negara dan kedaulatan undang-undang:

  •  Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
  • Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berpelembagaan.
  •  Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
  •  Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.
  • Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
  • Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.
Pemisahan kuasa
  • Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.
  • Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan kuasa timbang tara.
  • Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.
  • Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.
  • Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).
  • Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.
  • Membebaskan media, meminda Akta Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan internet.
  • Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.
  • Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.
Sistem pilihanraya yang bersih, bebas dan adil
  • Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.
  • Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan dakwat kekal.
  • Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.
  • Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.
  • Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.
  • Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

No comments:

Post a Comment