Wednesday, March 14, 2012

Manifesto 2008 VS Buku Jingga


Pelancaran Buku Jingga pakatan rakyat adalah bukti bahawa pembangkang sebenarnya mengalami ‘mati kutu’ atau buntu dalam usaha untuk menonjolkan kredibiliti sendiri.   Kita berkata begini kerana Buku Jingga sebenarnya bukanlah satu dokumen rapi dasar parti, tetapi semata-mata merupakan ‘buku janji’ setaraf ‘buku hutang 555’ yang jelas sekali dibuat tanpa kajian menyeluruh dan penyelidikan mendalam. 
Percetakan dan pengedarannya dibuat dengan begitu terburu-buru, mungkin kerana terdesak diasak oleh perbuatan sendiri yang sering terlibat dalam pelbagai skandal dan salahlaku. 
Menyedari Manifesto 2008 mereka yang masih jauh dari tertunai, Buku Jingga diharapkan sebagai mampu melupuskan janji-janji terdahulu dengan membentangkan janji-janji baru.   Namun, tidak semudah itu rakyat diperdaya untuk menerima bulat-bulat segala janji di dalam Buku Jingga. 
Bagi menjustifikasi janji-janji Buku Jingga ini eloklah kita bandingkan dengan apa yang terjadi dengan janji-jani Manifesto 2008.  Antara Manifesto 2008 Pakatan Rakyat ialah:   
Menguatkuasakan perlindungan alam sekitar bagi mengelak bencana seperti tanah runtuh dan banjir. 
Namun, ternyata apa yang berlaku ialah alam sekitar semakin ‘hancur’ di dalam tangan Pakatan Rakyat. 
Kerajaan PKR Selangor telah membenarkan perlombongan pasir secara haram di Paya Indah Wetland Dengkil dengan anggaran keuntungan RM350 juta.  Hasil dari kerja haram ini pula dikaut oleh kroni Menteri Besar, Khalid Ibrahim sendiri. 
Para pekerja lombong haram ini juga seringkali berlagak samseng terhadap penduduk sekitar dan memandang sepi segala kritikan.  Ini disyaki kerana mereka mendapat perlindungan dari pihak kerajaan negeri sehingga membolehkan mereka bermaharajalela tanpa segan silu atau takut. 
Di Kedah pula, pembalakan tidak bertanggungjawab berleluasa sehingga menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang sebelum ini belum pernah mengalami banjir.  Walaupun kerajaan Kedah menyalahkan kelulusan permit balak oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu, namun mereka tidak mampu menjawab kenapakah tempoh permit yang luput setiap tahun itu terus diluluskan oleh kerajaan PAS pula.
Di dalam Buku Jingga, PR mengulangi janji mengenai  Alam sekitar iaitu akan memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dikawal. 
Bagaimana mereka boleh memenuhi janji ini jika janji yang sama dalam Manifesto 2008 juga tidak ditunaikan malah menambahkan lagi kerosakan alam sekitar?

Mengurangkan cukai pintu rumah kediaman di Selangor sebanyak 20%
Janji ini dilihat sebagai tidak masuk akal kerana ia pasti akan membebankan kerajaan negeri.   Seperti yang dijangka, selepas memenangi Pilihanraya, janji ini juga tidak ditunaikan malah lebih buruk, beberapa kawasan seperti Kg. Baru Bt 11 Cheras, Kg Baru Serdang dan Ulu Yam telah menerima notis kenaikan cukai pintu bermula Julai 2010. 
Menurut Buku Jingga, PR berjanji akan berlaku adil dan telus serta mengurangkan beban rakyat dengan berbagai cara.  Namun bagaimana kerajaan yang terbukti  telah mungkir janji malah menipu rakyat boleh berlaku adil?
Dengan kenaikan cukai pintu yang berlaku di Selangor selepas memenangi Pilihanraya walaupun berjanji akan mengurangkannya dalam Manifesto 2008, membuktikan yang janji dalam Buku Jingga juga hanyalah janji kosong belaka. 

Bekalan 20 meter padu air percuma di Selangor
Akibatnya, 35% kawasan di daerah Selangor menghadapi masalah bekalan air yang berkarat dan kotor kerana pemberian air percuma telah menjejaskan kos penyelenggaraan  serta tidak memungkinkan perkhidmatan sekali gus bekalan air yang sempurna kepada rakyat.   Sebahagian besar punca masalah ini ialah ketidakmampuan kerajaan PKR Selangor untuk menggantikan saluran paip baru walaupun mereka telah menelan ratusan juta dari kegiatan haram lain. 
Pemberian air percuma ini sebenarnya telah meningkatkan hutang kerajaan negeri Selangor di mana dari tahun 2009 – 2011 sahaja hutang kerajaan negeri akibat subsidi air percuma berjumlah RM142.5 juta. 
Di Kedah pula, kerajaan Kedah telah dengan selambanya menaikkan tariff air domestik sehingga 44% atau 10 sen per meter padu. 
Pulau Pinang juga telah menaikkan tariff air sebanyak 25% atau 2 sen per meter padu atau RM2-RM5 sebulan) dengan bayaran surcharge sebanyak 24 sen pada 35,000 liter sebulan. 
Buku Jingga sekali lagi mengulangi janji manis yang sama mengenai bekalan air dalam Program 100 hari PR.  Namun bagaimana rakyat boleh mempercayainya sedangkan setelah hampir 3 tahun memerintah, janji bukan sahaja hanya tinggal janji tetapi perkhidmatan semakin buruk dan harga air juga meningkat secara drastik. 

PR berjanji akan menyelamatkan Kg Buah Pala, Pulau Pinang
Ketika kempen PRU 12, Anwar Ibrahim berjanji akan menyelesaikan masalah penduduk Kg. Buah Pala dalam masa 2 minggu sahaja jika Pulau Pinang berjaya ditawan Pakatan Rakyat. 
Namun, apa yang terakam dalam sejarah ialah masalah tidak selesai tetapi Kg. Buah Pala pula yang ‘selesai’ di tangan DAP.  Penduduk kampung hanya mampu melihat sahaja kampung tersebut dirobohkan tanpa belas kasihan oleh DAP. 
Buku Jingga juga berjanji yang PR akan menubuhkan Perbadanan Perumahan, mengatasi masalah setinggan dan peneroka, menyediakan bantuan naik taraf rumah kos rendah dan PPR dan lain-lain lagi.
Namun dari apa yang berlaku di Pulau Pinang, terutamanya Kg. Buah Pala yang mana janji dilafazkan dengan sumpah, maka seeloknya, Buku Jingga ini dibakar sahaja kerana sudah tentu janji kali ini juga bohong belaka.  Silap haribulan, rakyat bukan sahaja akan dihalau dari kampung malah akan dibebankan dengan kos perumahan yang lebih tinggi di bawah Pakatan Rakyat.  Ini tidak mustahil apabila melihat di negeri itu di mana setelah kampung-kampung Melayu dan India dihapuskan, kos perumahan di Pulau Pinang pula semakin meningkat.  Ini menjadikan pemilikan rumah adalah mustahil bagi rakyat yang berpendapatan rendah yang rata-ratanya kaum India dan Melayu.

Janji DAP untuk menghapuskan tol Jambatan Pulau Pinang (RM7) dan tol Sg. Nyior (50 sen)
Akhirnya janji tinggal janji, tol tetap di situ dan DAP langsung terlupa yang mereka pernah berjanji sedemikian.   
Untuk makluman, Buku Jingga juga menekankan soal penghapusan tol. 
Jika persoalan ekonomi dalam Buku Jingga diambil kira iaitu termasuk dengan penghapusan tol, kerajaan pusat akan mengalami defisit dalam belanjawan negara sebanyak RM199.0 billion – RM253.8 billion atau 27.% - 35.1% dalam tahun 2011 sahaja. 
Jelas di sini bahawa janji mengenai tol di dalam Manifesto 2008 mahupun Buku Jingga dibuat tanpa menggunakan akal kerana PR langsung tidak berniat untuk menepatinya. 

Janji DAP untuk menghapuskan bayaran parkir pada hari Sabtu dan Ahad
Janji ini bukan sahaja tidak ditepati, malah DAP juga telah membebankan lagi rakyat dengan memanjangkan tempoh pembayaran parkir dari waktu asal 8.00 pg - 5.00 ptg kepada 8.00 pg – 12.00 mlm. 
Sebenarnya, soalnya di sini bukanlah soal parkir semata-mata tetapi soal ketidakupayaan kerajaan PR untuk menjana ekonomi. 
Mereka hanya tahu mencari wang dan bukannya menjana pendapatan negeri.  Kerana itulah mereka cuba meraih pendapatan tunai secara langsung melalui rakyat marhaen seperti melalui bayaran parkir. 
Senario yang sama boleh dilihat juga dalam kerajaan PAS Kedah yang terang-terangan mengakui tidak tahu cara lain untuk menyelesaikan masalah hutang berkaitan isu air, maka segala kos diletakkan di bahu rakyat Kedah dengan menaikkan kadar tariff air.  Begitu juga dengan balak, apabila disoal kenapa ia masih berleluasa, jawapannya ialah kerana ketiadaan sumber ekonomi yang lain.
Sehingga hari ini, hampir 100% pelaburan yang masuk ke negeri-negeri PR adalah hasil titik peluh kerajaan BN Pusat sekarang. 
Walaupun terbukti tidak berupaya menjana ekonomi, Buku Jingga bagaimanapun membuat janji-janji yang lebih besar dari segi ekonomi.  Antaranya, meningkatkan pendapatan isi rumah, memberi skim bantuan dan kebajikan untuk warga emas, ibu tunggal, ‘air percuma’ dan berbagai-bagai lagi.
Fikirkanlah, sedangkan janji mudah seperti parkir di dalam Manifesto 2008 juga tidak mampu ditunaikan, bagaimana rakyat boleh mengharapkan mereka untuk menunaikan janji yang jauh lebih besar dalam Buku Jingga ini?  

Ini hanyalah  sebahagian dari kupasan ringkas mengenai janji dalam Manifesto 2008 jika dibandingkan dengan Buku Jingga.  Tetapi sebahagian yang ringkas ini juga sudah cukup untuk membuktikan yang Buku Jingga Pakatan Rakyat tidak punya nilai langsung.   Justeru, adalah disarankan agar kalau tidak dibakar Buku Jingga ini, harus ia dijadikan sampah untuk dikitar semula sahaja.  Sekurang-kurangnya dengan cara itu boleh juga memberi faedah kepada rakyat dan alam sekitar.  

Monday, March 12, 2012

Buku Jingga: Pelan Ekonomi 5 Tahun Bankrapkan Malaysia

Jika sebelum ini rakyat hanya mendengar slogan dan janji manis Pakatan Rakyat berkenaan apa yang mereka akan lakukan sekiranya memerintah Malaysia tanpa dapat benar-benar menghalusi dan menyelidikinya, tetapi dengan pelancaran Buku Jingga Pakatan Rakyat, akhirnya rakyat Malaysia berpeluang mengkaji sendiri janji-janji dan slogan tersebut. 

Tidak dinafikan janji-janji buku jingga memang manis belaka, namun bagaikan janji manis lelaki hidung belang terhadap gadis mentah, janji-janji tersebut ditabur sekadar untuk memperdaya.   Siapa saja boleh berjanji ingin memberikan kemewahan dan bulan bintang, tetapi dapatkah mereka menjelaskan bagaimana akan dipetik bulan bintang itu?  Dari mana akan dicari kemewahan itu?  Bagaikan memohon pinjaman bank, berjanji akan membayarnya tanpa mengemukakan bukti yang dia mampu membayar pinjaman tersebut, bagaimana pihak bank akan meluluskannya?

Inilah masalahnya dengan buku jingga Pakatan Rakyat di mana ianya penuh dengan janji tanpa mengemukakan jaminan bagaimana janji-janji tersebut akan mampu dilaksanakan.    

Elaun Guru
Antara janji yang dimegahkan oleh Pakatan Rakyat ialah pemberian elaun kepada guru-guru sebanyak RM500 sebulan tanpa menjelaskan bahawa jumlah itu adalah bersamaan dengan 0.3% atau RM2.4 billion dari KDNK.

Tanpa kajian mendalam, Pakatan Rakyat langsung tidak mengambil kira bahawa dengan kenaikan tersebut, pastinya akan memaksa kerajaan menaikkan juga gaji 1.2 million penjawat awam lain.  Ini akan menelan peruntukan sebanyak RM7.2 billion atau 1.0% dari KDNK. 

Secara keseluruhannya, elaun RM500 sebulan kepada guru akan diterjemahkan kepada RM9.6 billion setahun di dalam bajet kerajaan.  

Sedangkan, hakikatnya, elaun RM500 sebulan tidak akan membawa banyak perbezaan kepada cara hidup guru-guru yang mana rata-ratanya telah menyesuaikan diri dengan gaji yang sedia ada.  Bagi guru-guru yang memerlukan pendapatan tambahan seperti di bandar-bandar besar, RM500 atau lebih lagi boleh didapati dengan agak mudah melalui kerja sambilan seperti mengajar tuisyen dan sebagainya. 

Sebaliknya, RM9.6 billion dari bajet kerajaan adalah besar dan boleh dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan yang lebih meluas untuk kepentingan generasi yang akan datang.

Pendapatan isi rumah RM4000

Pakatan Rakyat juga begitu mudah sekali berjanji akan memastikan pendapatan minimum RM4,000 bagi setiap isi rumah dalam masa lima tahun.  

Mengikut perangkaan 2011, 3.8 juta atau 67.1% isi rumah di Malaysia berada dalam kategori pendapatan bawah RM4,000.  Oleh yang demikian, tambahan tunai sebanyak RM2,045 perlu disediakan kepada golongan ini bagi merealisasikan janji-janji tersebut.  Ini bermakna peningkatan sebanyak 21.7% bagi tahun 2011-2015 iaitu sehingga RM93.9 billion dalam bajet kerajaan.  . 

Namun, buku jingga tidak pula menjelaskan bagaimana caranya pendapatan isi rumah ini akan ditambahkan atau dari mana wang itu akan diperolehi? RM93.9 billion dalam bajet kerajaan pasti akan menjejaskan ekonomi negara jika sumbernya tidak dikaji dengan terperinci. 

Penghapusan Tol

Buku Jingga juga menjanjikan penghapusan tol  bagi mengurangkan bebanan rakyat.  Benarkah ia mampu mengurangkan bebanan rakyat dan apakah maknanya penghapusan tol ini kepada negara? 
Penghapusan tol akan menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos sehingga RM50 billion atau 6.4% dari KDNK untuk mengambilalih.  Kos ini juga tidak termasuk kos penyeleggaraan yang berjumlah RM235 juta dan kos pengurusan RM349 juta dan lain-lain yang membawa jumlah RM994 juta pada tahun 2009.  Kos ini akhirnya akan terpaksa diterjemahkan melalui pencukaian ke atas pengguna kenderaan dan jalanraya, iaitu rakyat jelata.

Ini kerana untuk memberikan khidmat terbaik dari segi penyelenggaraan lebuhraya, bukanlah murah dan mudah.  Keselamatan dan keselesaaan pengguna lebuhraya bergantung kepada kemampuan pihak penyelenggaraan dari segi kewangan dan tenaga kerja.    Kerajaan bukanlah satu badan perniagaan yang berorentasikan keuntungan. Oleh itu, jika kos ini dibebankan di atas bahu kerajaan, yang akan menanggungnya adalah rakyat juga akhirnya.  

Penambahan royalti minyak sebanyak 20% kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan

Mengikut bajet 2010, Petronas membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM8.3 billion. Jika nisbah pembayaran dividen kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri-negeri tersebut ialah 50:50 iaitu RM4.15 billion maka penambahan dividen sebanyak 20% atau RM16.6 billion yang dijanjikan PR akan menyebabkan dividen kepada kerajaan pusat terpaksa dikurangkan.

Perlu diingatkan bahawa lebih dari separuh dana kerajaan datangnya dari minyak, iaitu Petronas dan anak-anak syarikatnya. Dalam tahun 2005 Petronas merekodkan keuntungan sebanyak RM86 billion dengan RM30 billion diterjemahkan sebagai cukai kepada kerajaan Malaysia. Pendapatan kerajaan melalui percukaian pula keseluruhannya berjumlah RM60 billion yang mana sebahagian besarnya adalah dari Petronas. 

Untuk menambah dividen kepada negeri tertentu dan mengurangkan dividen kerajaan pusat, Petronas perlu memastikan keuntungan yang lebih tinggi dan konsisten bagi ‘survival’nya. 

Ini bermakna penambahan 20% royalti kepada negeri-negeri tersebut bukan sahaja akan menjejaskan dana kerajaan pusat sekali gus rakyat jelata, tetapi juga mampu ‘membunuh’ Petronas secara perlahan-lahan.  Memandangkan kebergantungan negara kepada Petronas, secara tak langsung, negara juga akan akhirnya mati secara perlahan-lahan. 

Wi-fi percuma
Wi-fi percuma akan menelan belanja sebanyak RM1.2 billion.  Dari mana dana ini akan diambil juga tidak dibincangkan di dalam buku jingga.  Apakah melalui duit rakyat juga?  Atau dengan memanipulasi polisi-polisi tertentu? 

Secara teknikalnya, Buku Jingga akan menyebabkan defisit dalam belanjawan negara sebanyak RM199.0 billion – RM253.8 billion atau 27.% - 35.1% dalam tahun 2011 sahaja.  Itu belum lagi dibincangkan mengenai subsidi dan lain-lain gula-gula atau ‘kebajikan’ yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat tanpa menjelaskan sumber dan asas ekonominya. 

Semakin jelas kini bahawa Pakatan Rakyat telah menulis dan mencetak buku jingga tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab terhadap rakyat dan negara. 

Kesimpulannya, di bawah Pakatan Rakyat negara sudah pasti bankrap dalam masa 5 tahun sahaja.  

Monday, February 27, 2012

JANJI 100 HARI BUKU JINGGA (2)

Agenda Pakatan Rakyat yang dicanangkan di dalam Buku Jingga mereka untuk melaksanakan 10 janji dalam masa 100 hari jika mentadbir kerajaan, hanya sekadar janji khayalan untuk menjadi popular di kalangan hari rakyat. Janji sedemikian sememangnya berbunyi amat menarik dan mampu dipersetujui oleh sesiapa sahaja jika tidak diambil kira kaedah untuk mengkotakan janji-janji itu.

Janji 100 Hari Pakatan Yang Pertama:

Mereformasikan insititusi SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
Ulasan
Reformasi ini sudah lama pun dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional tetapi tidak diberi perhatian oleh pihak Pakatan Rakyat. Sejak 2004 lagi Kerajaan Barisan Nasional sudah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Laporan Suruhanjaya tersebut telah disembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta untuk paparan awam.
Laporan setebal 576 mukasurat itu mengemukakan 125 cadangan bagi menambah baik institusi PDRM meliputi tiga aspek utama iaitu menurunkan kadar jenayah,  menghapuskan persepsi rasuah di kalangan masyarakat  terhadap PDRM dan memastikan hak asasi manusia tidak dicabul sepanjang melaksanakan tugas kepolisian.

Jemaah Menteri juga bersetuju supaya Jabatan dan Agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk mengkaji secara teliti dan menyeluruh kesemua syor-syor penambahbaikan di dalam laporan tersebut.
Susulan dari cadangan suruhanjaya itu juga, Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 diwujudkan bagi menggantikan Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas dan Salah Laku Polis 2007. Melalui rang undang-undang yang baru ini, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) akan bertanggungjawab menjalankan tugas pengesanan, siasatan dan menghindar salah laku pegawai penguatkuasa.

Ia membabitkan pemantauan tahap integriti 21 agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Dadah Kebangsaan,Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perikanan, Jabatan Hidupan Liar danTaman Negara, Jabatan Buruh, Jabatan Penguat Kuasa Kementerian Kesihatan, Unit Penguat Kuasa Pelesenan Kementerian Pelancongan,Jabatan Penguat Kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Komerial dan Pendaftar Perniagaan.

SIAP juga berfungsi untuk menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai penguatkuasa ataupun agensi penguatkuasaan di negara ini. Seramai tujuh pesuruhjaya di dalam SIAP terdiri daripada kalangan mereka yang tidak pernah menjawat jawatan sebarang jawatan membabitkan aktiviti penguatkuasaan supaya bidang tugas SIAP dapat dilaksana dengan lebih telus dan berintegriti.

Aduan salah laku yang diterima akan dinilai dan  diselenggara bagi menentukan jenis salah laku seterusnya menjalankan siasatan awal. Perkembangan  mengenai status aduan dan siasatan itu akan dimaklumkan kepada pengadu serta tindakan yang telah diambil selepas suruhanjaya telah membuat penemuannya. Untuk tujuan siasatan, Suruhanjaya boleh mengeluarkan notis bertulis untuk meminta seseorang hadir di hadapan Pesuruhjaya untuk mengemukakan apa-apa dokumen atau keterangan yang diminta.
Kerajaan Barisan Nasional juga telah melaksana beberapa perubahan bagi memantapkan usaha memerangi rasuah di negara ini. Badan Pencegah Rasuah (BPR) dinaik taraf menjadi  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diluluskan di Parlimen pada 2008.
Bidang tugas SPRM pula akan dipantau oleh lima badan bebas yang akan menilai perjalanan tugas SPRM memerangi rasuah iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah,Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah,Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah,Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi.
Di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), satu daripada teras utama perlaksanaannya adalah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerangi rasuah. Kajian menyeluruh  terhadap aspek integriti dijalankan secara berterusan bagi menambahbaikkan institusi utama negara iaitu  Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya, SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Wednesday, February 22, 2012

JANJI 100 HARI BUKU JINGGA (1)

Agenda Pakatan Rakyat yang dicanangkan di dalam Buku Jingga mereka untuk melaksanakan 10 janji dalam masa 100 hari jika mentadbir kerajaan, hanya sekadar janji khayalan untuk menjadi popular di kalangan hari rakyat. Janji sedemikian sememangnya berbunyi amat menarik dan mampu dipersetujui oleh sesiapa sahaja jika tidak diambil kira kaedah untuk mengkotakan janji-janji itu.

Mereka yakin dengan 10 janji yang bersifat populis itu, walaupun tidak munasabah untuk dilaksanakan pun, ia sudah cukup untuk mewujudkan persepsi di kalangan rakyat bahawa mereka mampu melaksana satu reformasi  kerajaan yang kononnya memihak kepada rakyat. Setiap janji dan agenda yang digemburkan itu, sebenarnya adalah satu janji fantasi yang bertujuan untuk menjadi popular sedangkan hakikatnya, mereka hanya memberi satu harapan palsu kepada rakyat.

Pada hakikatnya, Pakatan Rakyat sendiri memang tahu bahawa janji-janji berkenaan memang sukar untuk dilaksanakan dalam situasi ekonomi negara dan taraf sosial rakyat pada waktu ini. Tetapi, mereka tahu kepakaran memutarbelit fakta dan berdebat tanpa asas yang munasabah, sedikit sebanyak pasti akan membuatkan segelintir rakyat akan terpedaya. Tambahan pula mereka sendiri pun  memang tidak yakin mampu membentuk sebuah Kerajaan Pusat, apatah lagi untuk melaksanakan pelbagai janji, lebih-lebih lagi dalam tempoh 100 hari sahaja.

Usahkan 100 hari, malahan 1,000 hari sekalipun belum pasti akan dikotakan. Buktinya, lihat sahajalah kepada janji-janji Pakatan Rakyat yang dicanangkan sebelum ini ketika Pilihanraya Umum 2008. Selepas lebih 1,000 hari mentadbir Selangor, Pulau Pinang, dan Kedah, tiada satu pun yang dilaksanakan dan memenuhi hasrat rakyat seperti yang mereka janjikan dalam manifesto pilihanraya sebelum itu. Ternyata ia sekadar untuk menjadi popular dan memberi satu harapan palsu berjenamakan ‘pembaharuan’ kepada rakyat demi mendapatkan undi.

Jika benar Pakatan Rakyat memang ikhlas dalam agenda Buku Jingga mereka serta apa yang dijanjjikan itu adalah realistik kepada negara dan rakyat, mengapa mereka langsung tidak menjelaskan hujah-hujah kewangan dari aspek sumber dan pendapatan bagi membolehkan janji fantasi mereka itu mampu terlaksana. 

Mana mungkin seseorang hanya bercerita mahu membeli itu dan ini, bukit dan gunung malahan hingga ke bulan dan bintang sedangkan sumber kewangannya sendiri tidak diperjelaskan untuk menyokong cita-citanya itu.

Manipulasi angka-angka yang mereka paparkan di dalam Buku Jingga mungkin sedikit-sebanyak akan mengaburi mata rakyat, namun dari segi lojiknya ia langsung tidak rasional untuk berjaya dicapai, tetapi aspek itu tidak diperjelaskan di dalam Buku Jingga dengan tujuan untuk membuat rakyat keliru serta mengelakkan muslihat terbongkar. Bercerita segala yang indah dan manis pastinya amat disukai ramai orang dan mampu membuat seseorang itu popular, tetapi hakikat kebenaran tetap akan dicari oleh semua pihak walaupun ianya bukan sesuatu yang popular.

Banyak janji-janji Pakatan di Selangor belum tertunai biarpun  dulunya mereka berjanji akan melaksanakan dalam 100 hari memerintah. Sekarang mereka mendendangkan lagu yang sama untuk kerajaan persekutuan.

(bersambung esok ...)

Monday, February 20, 2012

SMBJ 24: Kepala Hotak Hanglah Anwar Ibrahim

Janji Buku Jingga

Krisis Ekonomi
Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Jawapan pentadbiran sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.

Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.

Program-program ini masih bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara.

Ulasan Kurang Ajar :)

Kepala bapak ko lah Anwar! Siapa yang naikkan kadar faedah bank semasa kegawatan ekonomi 1998? Hnag ambik alih pentadbiran ekonomi negara ketika Tun Daim Zainuddin telah memantapkan pertumbuhan ekonomi yang begitu baik. Sampai kat hang, bagi pink form sana bagi pink form sini sampai nak lingkup ekonomi negara.

Lepas tu ketika rakyat tengah susah Anwar sebagai menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri naikkan kadar pinjaman asas (Base Lending rates):

Malaysia BLR Semasa Anwar
1996:  8.5%
1997:  9.25%
1998: 12.27

Masa ini Anwar dengan senang hati mendakwa ini merupakan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh rakyat untuk memulihkan ekonomi. Sekarang dia pula kritik dan komplen kononnya kerajaan tidak prihatin masalah rakyat ketika kesusahan. Kepala hotak hanglah Anwar.

Habis semua syarikat yang bermasalah hang nak tutup kononnya Kemusnahan Kreatif! Hang suka rakyat tak dak kerja, hilang pendapatan, jatuh miskin supaya mudah hasut mereka untuk tukar Perdana Menteri ketika itu.

Ulasan Akademik: 


Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan Model Ekonomi Baru (MEB) yang ingin dicapai melalui Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Program Transformasi Kerajaan (PTK),   adalah sebagai satu usaha untuk melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.  Wawasan 2020 tidak mungkin dapat dicapai tanpa transformasi menyeluruh membabitkan aspek ekonomi, sosial dan kerajaan. Perlaksanaan pelan MEB, PTE dan PTK adalah mensasarkan kepada objektif utama bagi  melahirkan sebuah negara berpendapatan tinggi dengan sasaran USD15,000 hingga USD20,000 menjelang tahun 2020.

Justeru, ia akan meningkatkan kualiti hidup rakyat apabila semula lapisan masyarakat dapat menikmati kekayaan negara sepenuhnya. Secara tidak langsung ia akan dapat memenuhi keperluan semasa kehidupan seharian rakyat tanpa menjejaskan keperluan dan keberlangsungan hidup generasi akan datang.
Pelan-pelan pembangunan ekonomi dan sosial yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional ini, telah mula menunjukkan hasilnya walaupun masih di peringkat awal perlaksanaan. Beberapa hasil positif sudah pun dapat dilihat iaitu:

1. 53 peratus penurunan kadar penduduk Malaysia yang dikategorikan sebagai miskin tegar.
2. RM31 bilion berjaya diperoleh dalam bentuk Keluaran Negara Kasar hasil daripada 9 projek ETP yang dilancarkan sejak Oktober tahun 2010
3. RM8 billion nilai pelaburan berjaya diperoleh untuk 9 projek ETP yang dilancarkan November 2010
4. 70,500 peluang pekerjaan akan diwujudkan tidak lama lagi  di bawah 4 projek utama ETP bermula November 2010.
5. 124 syarikat teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi dan kejuruteraan bersetuju berkerjasama di bawah program penyelidikan dan pembangunan (R &D) Taman Teknologi Malaysia bagi menghasilkan modal insan kelas pertama.

Tuesday, February 7, 2012

SMBJ 23: Buku Jingga Baru Janji, BN Dah Buat (II)

Janji Buku Jingga

"Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan."


Ulasan


Kerajaan Barisan Nasional melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) menyalurkan RM100 sebulan seorang tiap kanak-kanak dan RM450 untuk sekeluarga. JKM juga menyediakan Geran Pelancaran RM2700 bagi menggalakkan ibu tunggal berdikari dengan aktiviti perniagaan, pertanian dan sebagainya.  Kerajaan Pakatan Selangor bagi apa? Janji pilihan raya dulu tinggal janji sahaja.

Wednesday, February 1, 2012

SMBJ 22: Buku Jingga Baru Janji, BN Dah Buat

Janji Buku Jingga:
Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.

Ulasan:
Selama ini memang Kerajaan Barisan Nasional melalui peranan Kementerian Kewangan telah mengambil kira perspektif gender dalam penyediaan budget di kementerian masing-masing. Ketika ini kerajaan dalam usaha untuk melaksanakan outcome-based budgeting(OBB) yang mempunyai persamaan dengan Bajet Gender. 

Janji Buku Jingga: 
Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.

Ulasan:
Kerajaan Barisan Nasional telah meminda kandungan buku teks dan program pendidikan supaya tidak terlalu memberi penekanan terhadap sesuatu gender. Kerajaan juga menerbitan buku teks Siti Aisya di sekolah rendah bagi menyemai prinsip kesaksamaan gender. 

Buku Jingga:
Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Ulasan:
Kerajaan Barisan Nasional melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyediakan kursus keibubapaan modul kasih, pengiktirafan kepada kaum ibu dengan anugerah Ibu Mithali serta Program Kesedaran undang-undang supaya suri rumah mengetahui hak masing-masing.