Monday, March 12, 2012

Buku Jingga: Pelan Ekonomi 5 Tahun Bankrapkan Malaysia

Jika sebelum ini rakyat hanya mendengar slogan dan janji manis Pakatan Rakyat berkenaan apa yang mereka akan lakukan sekiranya memerintah Malaysia tanpa dapat benar-benar menghalusi dan menyelidikinya, tetapi dengan pelancaran Buku Jingga Pakatan Rakyat, akhirnya rakyat Malaysia berpeluang mengkaji sendiri janji-janji dan slogan tersebut. 

Tidak dinafikan janji-janji buku jingga memang manis belaka, namun bagaikan janji manis lelaki hidung belang terhadap gadis mentah, janji-janji tersebut ditabur sekadar untuk memperdaya.   Siapa saja boleh berjanji ingin memberikan kemewahan dan bulan bintang, tetapi dapatkah mereka menjelaskan bagaimana akan dipetik bulan bintang itu?  Dari mana akan dicari kemewahan itu?  Bagaikan memohon pinjaman bank, berjanji akan membayarnya tanpa mengemukakan bukti yang dia mampu membayar pinjaman tersebut, bagaimana pihak bank akan meluluskannya?

Inilah masalahnya dengan buku jingga Pakatan Rakyat di mana ianya penuh dengan janji tanpa mengemukakan jaminan bagaimana janji-janji tersebut akan mampu dilaksanakan.    

Elaun Guru
Antara janji yang dimegahkan oleh Pakatan Rakyat ialah pemberian elaun kepada guru-guru sebanyak RM500 sebulan tanpa menjelaskan bahawa jumlah itu adalah bersamaan dengan 0.3% atau RM2.4 billion dari KDNK.

Tanpa kajian mendalam, Pakatan Rakyat langsung tidak mengambil kira bahawa dengan kenaikan tersebut, pastinya akan memaksa kerajaan menaikkan juga gaji 1.2 million penjawat awam lain.  Ini akan menelan peruntukan sebanyak RM7.2 billion atau 1.0% dari KDNK. 

Secara keseluruhannya, elaun RM500 sebulan kepada guru akan diterjemahkan kepada RM9.6 billion setahun di dalam bajet kerajaan.  

Sedangkan, hakikatnya, elaun RM500 sebulan tidak akan membawa banyak perbezaan kepada cara hidup guru-guru yang mana rata-ratanya telah menyesuaikan diri dengan gaji yang sedia ada.  Bagi guru-guru yang memerlukan pendapatan tambahan seperti di bandar-bandar besar, RM500 atau lebih lagi boleh didapati dengan agak mudah melalui kerja sambilan seperti mengajar tuisyen dan sebagainya. 

Sebaliknya, RM9.6 billion dari bajet kerajaan adalah besar dan boleh dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan yang lebih meluas untuk kepentingan generasi yang akan datang.

Pendapatan isi rumah RM4000

Pakatan Rakyat juga begitu mudah sekali berjanji akan memastikan pendapatan minimum RM4,000 bagi setiap isi rumah dalam masa lima tahun.  

Mengikut perangkaan 2011, 3.8 juta atau 67.1% isi rumah di Malaysia berada dalam kategori pendapatan bawah RM4,000.  Oleh yang demikian, tambahan tunai sebanyak RM2,045 perlu disediakan kepada golongan ini bagi merealisasikan janji-janji tersebut.  Ini bermakna peningkatan sebanyak 21.7% bagi tahun 2011-2015 iaitu sehingga RM93.9 billion dalam bajet kerajaan.  . 

Namun, buku jingga tidak pula menjelaskan bagaimana caranya pendapatan isi rumah ini akan ditambahkan atau dari mana wang itu akan diperolehi? RM93.9 billion dalam bajet kerajaan pasti akan menjejaskan ekonomi negara jika sumbernya tidak dikaji dengan terperinci. 

Penghapusan Tol

Buku Jingga juga menjanjikan penghapusan tol  bagi mengurangkan bebanan rakyat.  Benarkah ia mampu mengurangkan bebanan rakyat dan apakah maknanya penghapusan tol ini kepada negara? 
Penghapusan tol akan menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos sehingga RM50 billion atau 6.4% dari KDNK untuk mengambilalih.  Kos ini juga tidak termasuk kos penyeleggaraan yang berjumlah RM235 juta dan kos pengurusan RM349 juta dan lain-lain yang membawa jumlah RM994 juta pada tahun 2009.  Kos ini akhirnya akan terpaksa diterjemahkan melalui pencukaian ke atas pengguna kenderaan dan jalanraya, iaitu rakyat jelata.

Ini kerana untuk memberikan khidmat terbaik dari segi penyelenggaraan lebuhraya, bukanlah murah dan mudah.  Keselamatan dan keselesaaan pengguna lebuhraya bergantung kepada kemampuan pihak penyelenggaraan dari segi kewangan dan tenaga kerja.    Kerajaan bukanlah satu badan perniagaan yang berorentasikan keuntungan. Oleh itu, jika kos ini dibebankan di atas bahu kerajaan, yang akan menanggungnya adalah rakyat juga akhirnya.  

Penambahan royalti minyak sebanyak 20% kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan

Mengikut bajet 2010, Petronas membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM8.3 billion. Jika nisbah pembayaran dividen kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri-negeri tersebut ialah 50:50 iaitu RM4.15 billion maka penambahan dividen sebanyak 20% atau RM16.6 billion yang dijanjikan PR akan menyebabkan dividen kepada kerajaan pusat terpaksa dikurangkan.

Perlu diingatkan bahawa lebih dari separuh dana kerajaan datangnya dari minyak, iaitu Petronas dan anak-anak syarikatnya. Dalam tahun 2005 Petronas merekodkan keuntungan sebanyak RM86 billion dengan RM30 billion diterjemahkan sebagai cukai kepada kerajaan Malaysia. Pendapatan kerajaan melalui percukaian pula keseluruhannya berjumlah RM60 billion yang mana sebahagian besarnya adalah dari Petronas. 

Untuk menambah dividen kepada negeri tertentu dan mengurangkan dividen kerajaan pusat, Petronas perlu memastikan keuntungan yang lebih tinggi dan konsisten bagi ‘survival’nya. 

Ini bermakna penambahan 20% royalti kepada negeri-negeri tersebut bukan sahaja akan menjejaskan dana kerajaan pusat sekali gus rakyat jelata, tetapi juga mampu ‘membunuh’ Petronas secara perlahan-lahan.  Memandangkan kebergantungan negara kepada Petronas, secara tak langsung, negara juga akan akhirnya mati secara perlahan-lahan. 

Wi-fi percuma
Wi-fi percuma akan menelan belanja sebanyak RM1.2 billion.  Dari mana dana ini akan diambil juga tidak dibincangkan di dalam buku jingga.  Apakah melalui duit rakyat juga?  Atau dengan memanipulasi polisi-polisi tertentu? 

Secara teknikalnya, Buku Jingga akan menyebabkan defisit dalam belanjawan negara sebanyak RM199.0 billion – RM253.8 billion atau 27.% - 35.1% dalam tahun 2011 sahaja.  Itu belum lagi dibincangkan mengenai subsidi dan lain-lain gula-gula atau ‘kebajikan’ yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat tanpa menjelaskan sumber dan asas ekonominya. 

Semakin jelas kini bahawa Pakatan Rakyat telah menulis dan mencetak buku jingga tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab terhadap rakyat dan negara. 

Kesimpulannya, di bawah Pakatan Rakyat negara sudah pasti bankrap dalam masa 5 tahun sahaja.  

No comments:

Post a Comment