Monday, February 27, 2012

JANJI 100 HARI BUKU JINGGA (2)

Agenda Pakatan Rakyat yang dicanangkan di dalam Buku Jingga mereka untuk melaksanakan 10 janji dalam masa 100 hari jika mentadbir kerajaan, hanya sekadar janji khayalan untuk menjadi popular di kalangan hari rakyat. Janji sedemikian sememangnya berbunyi amat menarik dan mampu dipersetujui oleh sesiapa sahaja jika tidak diambil kira kaedah untuk mengkotakan janji-janji itu.

Janji 100 Hari Pakatan Yang Pertama:

Mereformasikan insititusi SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
Ulasan
Reformasi ini sudah lama pun dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional tetapi tidak diberi perhatian oleh pihak Pakatan Rakyat. Sejak 2004 lagi Kerajaan Barisan Nasional sudah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Laporan Suruhanjaya tersebut telah disembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta untuk paparan awam.
Laporan setebal 576 mukasurat itu mengemukakan 125 cadangan bagi menambah baik institusi PDRM meliputi tiga aspek utama iaitu menurunkan kadar jenayah,  menghapuskan persepsi rasuah di kalangan masyarakat  terhadap PDRM dan memastikan hak asasi manusia tidak dicabul sepanjang melaksanakan tugas kepolisian.

Jemaah Menteri juga bersetuju supaya Jabatan dan Agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk mengkaji secara teliti dan menyeluruh kesemua syor-syor penambahbaikan di dalam laporan tersebut.
Susulan dari cadangan suruhanjaya itu juga, Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 diwujudkan bagi menggantikan Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas dan Salah Laku Polis 2007. Melalui rang undang-undang yang baru ini, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) akan bertanggungjawab menjalankan tugas pengesanan, siasatan dan menghindar salah laku pegawai penguatkuasa.

Ia membabitkan pemantauan tahap integriti 21 agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Dadah Kebangsaan,Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perikanan, Jabatan Hidupan Liar danTaman Negara, Jabatan Buruh, Jabatan Penguat Kuasa Kementerian Kesihatan, Unit Penguat Kuasa Pelesenan Kementerian Pelancongan,Jabatan Penguat Kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Komerial dan Pendaftar Perniagaan.

SIAP juga berfungsi untuk menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai penguatkuasa ataupun agensi penguatkuasaan di negara ini. Seramai tujuh pesuruhjaya di dalam SIAP terdiri daripada kalangan mereka yang tidak pernah menjawat jawatan sebarang jawatan membabitkan aktiviti penguatkuasaan supaya bidang tugas SIAP dapat dilaksana dengan lebih telus dan berintegriti.

Aduan salah laku yang diterima akan dinilai dan  diselenggara bagi menentukan jenis salah laku seterusnya menjalankan siasatan awal. Perkembangan  mengenai status aduan dan siasatan itu akan dimaklumkan kepada pengadu serta tindakan yang telah diambil selepas suruhanjaya telah membuat penemuannya. Untuk tujuan siasatan, Suruhanjaya boleh mengeluarkan notis bertulis untuk meminta seseorang hadir di hadapan Pesuruhjaya untuk mengemukakan apa-apa dokumen atau keterangan yang diminta.
Kerajaan Barisan Nasional juga telah melaksana beberapa perubahan bagi memantapkan usaha memerangi rasuah di negara ini. Badan Pencegah Rasuah (BPR) dinaik taraf menjadi  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diluluskan di Parlimen pada 2008.
Bidang tugas SPRM pula akan dipantau oleh lima badan bebas yang akan menilai perjalanan tugas SPRM memerangi rasuah iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah,Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah,Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah,Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi.
Di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), satu daripada teras utama perlaksanaannya adalah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerangi rasuah. Kajian menyeluruh  terhadap aspek integriti dijalankan secara berterusan bagi menambahbaikkan institusi utama negara iaitu  Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya, SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

No comments:

Post a Comment