Thursday, December 15, 2011

SMBJ 19: Pakatan Selangor Berjaya Tambah Tenaga Kerja Wanita

Janji Buku Jingga 
Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.

Ulasan
Kita memang akui bahawa kerajaan Pakatan di Selangor berjaya meningkatkan jumlah pekerja wanita. Berdasarkan kenyataan bekas Menteri Besar Selangor pada 2009 bahawa terdapat 4000 rumah urut di selangor ketika itu, sudah pasti Selangor sekarang mempunyai lebih 20 ribu tukang urut wanita.  Ini berdasarkan andaian setiap rumah urut mempunyai 5 orang tukang urut wanita. Namun berdasarkan pemerhatian rambang ada rumah urut mempunyai sehingga 10 tukang urut.
Bayangkan dalam masa dua tahun pemerintahan ketika itu, Pakatan di Selangor berjaya menambah jumlah tenaga kerja wanita yang begitu besar jumlahnya. Inilah langkah memartabatkan wanita di bawah Pakatan.  Kah!Kah! Kah!
Bagi Barisan Nasional, sasaran 60 peratus  wanita dalam penyertaan tenaga buruh dalam masa 10 tahun adalah terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai. Ini adalah berlandaskan trend sejak 10 tahun lalu di mana kadar penyertaan wanita berganjak sekitar 1 peratus sahaja sehingga 46.4 peratus pada tahun 2010.

Janji Buku Jingga

Wanita Dan Institusi Keluarga:

Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan yang adil dalam segala bidang.

Ulasan

Ramai penyokong Pakatan terdiri daripada peguam dan juga pensyarah yang masuk "bakul angkat sendiri" kononnya pakar undang-undang. Jadi kita nak lihatlah draf akta untuk wanita ini. Kerana perkara yang dijanjikan ini sangat subjektif dan kita pun hendak tahu macam mana nak tafsirkan layanan adil dalam segala bidang. Ini penting kerana akta bukan macam ceramah politik. Jangan nanti kerana akta tak masuk akal kononnya nak jaga keadilan untuk wanita maka ramai majikan masuk penjara dan ramai lelaki tidak ada kerja.
Memang BN tiada akta khusus yang mempunyai peruntukan mengenai kesaksamaan gender namun kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan golongan wanita mendapat layanan yang adil dalam semua bidang. Antaranya pindaan Akta Pencen 1980 yang memberi hak kepada balu yang berkahwin semula terus mendapat pencen terbitan. Manakala dalam Pindaan Akta Tanah 2002 pula, ia membolehkan isteri atau bekas isteri menjadi pemilik bersama tanah berkelompok.

Wednesday, December 14, 2011

SMBJ 18: Fahamkah Pakatan Dengan Apa Yang Dijanjikan Dalam Buku Jingga Mereka?

Janji Buku Jingga

Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.
Ulasan
Lagi janji yang tidak membuktikan apakah pelan tindakan Pakatan dalam isu ini. Malah tidak mustahil sebahagian pemimpin Pakatan sendiri tidak faham kenyataan ini dan hanya dimasukkan oleh NGO-NGO yang menyokong Pakatan.
Sebenarnya, menurut Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan Protokol Kyoto, Malaysia, sebagai negara membangun, tidak mempunyai sebarang komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah kaca (GHG).
Namun iltizam dan hasrat untuk melestarikan alam sekitar negara dan dunia  telah jelas sekali apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Malaysia secara sukarela akan mengurangkan Intensiti pelepasan GHG berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sehingga 40 peratus berbanding pada tahun 2005 menjelang tahun 2020.

Kerajaan telah menerbitkan Dasar Perubahan Iklim Negara dan seterusnya menubuhkan Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim yang bertujuan untuk mengarusperdanakan tindakan-tindakan adaptasi dan mitigasi yang diambil oleh kerajaan di dalam menangani isu perubahan iklim secara bersepadu.
Justeru ketika janji Pakatan tidak ada hala tuju dan pelan tindakan, Barisan Nasional telah mempunyai pelan tindakan untuk dikotakan.


Tuesday, December 6, 2011

SMBJ 17: Lawak -Pakatan Hendak Kawal Aktiviti Pembalakan

Janji Buku Jingga

Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.

Ulasan:


Pembangunan yang mapan? Lawak jenaka apa yang Pakatan janjikan ini. Di Kelantan selama lebih 20 tahun memerintah dah cerah hutan ditebang untuk balak. (baca sini). Di Selangor yang kononya lebih ramai pejuang alam sekitar dalam Pakatan termasuk EXCO "bogel", sudah banyak pembalakan "haram" yang direstui secara senyap kerajaan negeri berjalan di Hulu Langat. Sebab itu dengan tiba-tiba Kajang dilanda banjir terbesar dalam masa 40 tahun.

Lihat juga kawasan hijau sepanjang lebuh raya persekutuan berhampiran tol batu tiga, Semuanya ditebang sejak zaman Pakatan memerintah.

Dalam pada itu, pendekatan pembangunan mapan (sustainable development) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional sehingga kini telah berjaya mengekalkan 56.4 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan. Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dilaksanakan sebagai salah satu kriteria utama dalam Sustainable Forest Management (SFM) yang bertujuan mengawal pembukaan kawasan hutan untuk mendapatkan hasil.

Tuesday, November 29, 2011

SMBJ (16): Pakatan Pejuang Alam Sekitar?

Janji Buku Jingga

Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.

Ulasan:

Apa program kitar semula Pakatan di negeri-negeri pentadbirannya? ilek!

Yang ada sekarang ini ialah kerajaan Selangor suruh orang bayar RM 0.20 duit plastik jika beli barang hari sabtu. Ini kempen alam sekitar atau kempen nak tolong peniaga dapat balik modal beli plastik. Sungguhpun dijanjikan kutipan tersebut akan masuk dalam tabung alam sekitar, tapi siapa pernah audit atau periksa?

Di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional, program pengurangan sisa melalui kitar semula telah lama dilaksanakan. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti kempen pendidikan dan kesedaran, prasarana dan sistem yang menyeluruh. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia secara berterusan melaksanakan program galakan amalan kitar semula buangan di bawah bidang kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sebanyak 440 buah tong kitar semula telah ditempatkan oleh Jabatan Alam Sekitar di 200 premis seluruh Malaysia.

Di Selangor jangan kata nak kitar semula sampah. Hendak angkut sampah sedia ada pun tidak mampu lagi. Tidak percaya? Sila datang melawat bandar sunway.

SMBJ (15): Chua Jui Meng Gelak Baca Buku Jingga?

Janji Buku Jingga

Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.


Ulasan:

Nak kaji dan teliti apa? Retorik lagi. Takkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng tidak tahu apa masalah dalam isu ini? Sebenarnya tiada isu, sebab itu terpaksa buat ayat muluk-muluk hanya untuk sedapkan hati rakyat konon mereka prihatin.

Walaupun bagi perkhidmatan-perkhidmatan di hospital yang telah diswastakan, pesakit masih lagi membayar caj rawatan yang sama mengikut Perintah Fee (Perubatan) 1982 di mana kadar bayaran yang dikenakan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan masih sama dan tidak dinaikkan. Ia bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar caj kesihatan seperrti mana yang dikenakan pusat perubatan swasta.

Kalau jujur berjanji mesti terangkan apa kelemahan dan apa yang akan dibuat. Kalau setakat ulasan retorikal tanpa fakta, maka pembohong namanya.

Monday, November 21, 2011

SMBJ (14): Awas Kakitangan Perkhidmatan Kesihatan, Buku Jingga Mahu Auta

Janji Buku Jingga

Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.

Ulasan

Siapa pun tidak boleh pastikan apakah yang dimaksudkan oleh Buku Jingga Pakatan mengenai skim ganjaran ini. Janji tanpa perincian ini menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang idea untujk dilaksanakan.

Sebaliknya Barisan Nasional melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan pelbagai elaun dalam proses penambahbaikan kakitangan perubatan di hospital kerajaan. Kadar Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM750. Turut dinaikkan Kadar Bayaran Insentif Pakar, termasuk Bayaran Insentif Pegawai Kesihatan Awam (BIPKA) dan Bayaran Insentif Pengarah Hospital (BIPH).

Bagi kakitangan yang bertugas selepas waktu pejabat, disediakan Bayaran Insentif Klinik Selepas Waktu Pejabat pada kadar RM80.00 sejam kepada pegawai perubatan manakala Bayaran Insentif Khas (pembedahan Elektif) pada kadar RM200 sejam kepada pakar dan RM80.00 sejam kepada pegawai perubatan.

Apa lagi yang buku Jingga mahu janjikan? Bulan dan Bintang?

Thursday, November 10, 2011

SMBJ (13): Hal Kesihatan Rakyat Pun Anwar Mahu Auta

Janji Buku Jingga

Menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.


Ulasan

Satu janji pembohong dan penipu. Secara logiknya tiada negara mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan kerajaan yang setanding dengan pihak swasta. Ini kerana kerajaan memberi subsidi yang besar dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan. Rakyat hanya membayar kos minimum untuk pendaftaran. Kebanyakan ubat berharga ratusan ringgit diberi secara percuma.

Perkhidmatan kesihatan kerajaan berasaskan keperluan kesihatan semata. Ini bermakna apa sahaja rawatan yang diberikan memenuhi kehendak dan keperluan perubatan.

Sebaliknya pihak swasta menyediakan perkhidmatan berasaskan kehendak pelanggan atas perkara-perkara yang tiada kena-mengena dengan keperluan perubatan seperti penyewaan bilik seperti hotel, kemudahan temu janji dengan doktor.

Kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Manakala kumpulan yang mampu atau dilindungi insurans boleh memilih hospital swasta yang mengenakan bayaran yang jauh lebih tinggi.

Selain itu, sebelum kelahiran Buku Jingga lagi, satu Memorandum Kabinet mengenai cadangan untuk Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Perubatan telah disediakan pada September 2009. Bagaimanapun memorandum tersebut tidak dibentangkan ke Kabinet kerana ia memerlukan pindaan di peringkat Parlimen.


Janji Buku Jingga


Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.



Ulasan

Retorik lagi. Adakah perkhidmatan kesihatan awam hari ini tidak cekap, meluas dan bermutu? Perkhidmatan kesihatan awam di negara ini melangakaui batas ruang dan kawasan. Di kawasan-kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang belum mempunyai jaringan pengangkutan yang cekap turut mempunyai perkhidmatan kesihatan.

Buat masa ini perkhidmatan yang disediakan di hospital kerajaan telah diberikan subsidi yang tinggi oleh kerajaan di mana kutipan hasil kerajaan daripada rawatan tersebut tidak pun sampai 5 peratus dari peruntukan keseluruhan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Namun, Kerajaan Barisan Nasional tetap meneruskan kadar subsidi ini bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mampu memperoleh khidmat kesihatan yang sempurna.

 Caj yang dikenakan oleh hospital kerajaan adalah amat rendah misalnya bagi mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar, bayaran yang dikenakan hanyalah RM 1.00 sahaja (walaupun pesakit menjalani pemeriksaan makmal, pemeriksaan X-Ray dan diberikan ubatan yang kosnya adalah amat tinggi).

Selain dari itu bagi golongan miskin, caj rawatan di hospital boleh dikecualikan. Mereka juga boleh memohon Tabung Bantuan Perubatan bagi membiayai kos rawatan perubatan yang tinggi di hospital kerajaan.

Jadi kita hendak tahu apa lagi keadaan yang munasabah yang boleh disediakan oleh Pakatan seperti yang dijanjikan oleh Buku Jingganya?

Apa yang tertera dalam Buku Jingga mengenai hal kesihatan bukanlah janji atau manifesto tetapi sekadar kata-kata manis tanpa sebarang langkah atau janji yang konkrit. Ini dibuat dengan tujuan apabila menang nanti rakyat tidak boleh menuntut janji mereka seperti yang berlaku kepada kerajaan negeri Selangor sekarang dalam isu Air percuma.

Jika benar mereka mahu membuat pembaharuan dalam isu perkhidmatan kesihatan awam, maka Pakatan perlu nyatakan secara spesifik dan fakta apa perubahan yang ingin mereka buat.