Monday, October 3, 2011

BUKU JINGGA: KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT (1)

KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat telah mempamerkan rekod pentadbiran yang meniupkan semangat keadilan sosial dan persaudaraan rakyat untuk menjamin kemakmuran bersama. Prinsip asas yang dijunjung dari Dasar Bersama telah dihadam dan dihidupkan melalui pelbagai dasar pro-rakyat yang telah dijalankan selama ini.

Fokus utama Pakatan Rakyat dalam tempoh setahun akan datang adalah menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat atas landasan keutuhan sistem pentadbiran yang demokratik untuk memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri keikhlasan dan keberkesanan Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan.

Ini akan dilakukan melalui pengenalan langkah-langkah spesifik yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan akan diperjuangkan di peringkat nasional oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat.

Rekod pembelaan rakyat yang dicapai oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tidak dapat ditandingi oleh lawan. Pentadbiran Pakatan Rakyat diakui bebas rasuah, telus, berjiwa rakyat lagi berkebajikan dan berjaya meningkatkan hasil negeri berdasarkan laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit Negara dan pemantau bebas.

DBUKU JINGGA: NEGARA DALAM KRISIS PENDIDIKAN

Krisis Pendidikan

Kelesuan ekonomi dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa rakyat apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut selera pemerintah. Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan yang corot dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.

Sekolah-sekolah dan universiti dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi kesejahteraan bersama. Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.


BUKU JINGGA: NEGARA DALAM KRISIS HAK ASASI DAN RASUAH


Hak Rakyat Dinodai

Peristiwa salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi mangsa dari pelbagai kaum.

Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.

Tindakan-tindakan penguasa sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.

Gejala Rasuah Berleluasa

Rasuah adalah barah utama yang menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah yang berakar menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak sedekad lalu, rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara yang kian malap.

Rasuah berleluasa kerana dokongan pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari kalangan kroni dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali dengan pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya. Golongan ini adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket mereka.

Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.

BUKU JINGGA: NEGARA DALAM KRISIS BEBANAN RAKYAT

Bebanan Rakyat

Kelesuan ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.


BUKU JINGGA: NEGARA DALAM KRISIS ANTARA KAUM

Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum

Pemerintah sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan tingkah laku penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum apabila semakin terdesak.

Rentetan peristiwa berbaur perkauman yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.

Kegilaan menggunakan isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.

BUKU JINGGA: NEGARA DALAM KRISIS INSTITUSI

KEROSAKAN INSTITUSI NEGARA
Institusi-institusi negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan badan kehakiman terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman.

Malah, amalan mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin menjadi-jadi.

Jika integriti institusi-institusi utama negara tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda. Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus cacat dan tidak berkesan.

BUKU JINGGA: NEGARA DALAM KRISIS EKONOMI

Krisis Ekonomi

Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Jawapan pentadbiran sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.

Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program

Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.

Program-program ini masih bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara.

12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.

10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.

4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.

4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.

KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.

325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata setahun adalah 81.25 billion ringgit.

53.5% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.

3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).